Tuesday, October 16, 2012

Dendam Kerana Putus Cinta Doktor Gigi Cabut Semua Gigi Bekas Kekasihnya




Seorang doktor gigi di Poland berdepan hukuman penjara kerana mencabut semua gigi bekas teman lelakinya selepas lelaki itu meninggalkannya hanya beberapa hari sebelum itu.

Mangsa, Marek Olszewski, 45, ke klinik gigi tempat bekas teman wanitanya, Anna Mackowik, 34, bekerja akibat sakit gigi kerana menyangkakan wanita itu akan bertindak profesional dan melupakan tindakannya meninggalkannya, lapor akhbar Daily Mail.

Mackowiak memberi Olszewski ubat bius yang kuat dan memberitahu mulutnya akan berasa kebas dan tidak mampu merasa apaapa.

Doktor gigi itu turut membalut dagu Olszewski dengan balutan dan memberitahu bahawa beliau perlu berjumpa pakar.

Lelaki itu hanya tahu kesemua giginya tiada selepas pulang ke rumah lalu melihat dirinya di cermin dan menyedari wanita itu sudah mencabut semua giginya.

“Saya tidak meraguinya kerana saya sangkakan beliau akan bertindak sebagai seorang profesional,” kata Olszewki.

Mackowiak memberitahu Daily Mail bahawa beliau cuba menjadi profesional dan cuba mengenepikan emosinya.
“Tetapi apabila nampak dia baring di kerusi, saya terus terfikir, ‘dasar si celaka ini’,” kata wanita itu.


Mackowiak kini berdepan penjara sehingga tiga tahun kerana mencabut kesemua gigi Olszewski.

Beliau disiasat kerana melanggar amalan perubatan dan mencabul kepercayaan pesakit, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Olszewski terpaksa membelanjakan kos besar untuk menanam gigi semula.

Tambahan kepada penghinaan kecederaan itu, teman wanita baru lelaki itu turut meninggalkannya dengan alasan tidak mahu bersama dengan lelaki tanpa gigi.