Monday, October 01, 2012

Sisi Berbeza Aaron Aziz Dalam Filem Terbarunya "Ngorat"





Jika sebelum ini dirinya lebih sinonim dengan watak romantis dan aksi, kali ini pelakon terkenal, Aaron Aziz cuba mencari kelainan dengan menonjolkan sisi komedi yang ada dalam dirinya.

Melalui filem terbaru lakonannya, Ngorat arahan Prof Madya Razak Mohaideen, Aaron, 36, memegang watak sebagai Arjuna Kasih yang merupakan seorang guru cinta yang menjanjikan jodoh dalam tempoh 30 hari sekiranya Ijam (Iedil) menurut segala petua-petua yang diberikannya.

“Saya cuba mencari kelainan melalui filem ini kerana bukan selalu saya dapat tawaran filem bergenre komedi sebegini.

“Tetapi saya tidak terlalu taksub dengan watak ini, maksudnya di sini, saya tidak terlalu ‘try so hard to make people laugh’, cumanya saya berikan lakonan secara semulajadi menerusi filem ini.

“Takdelah orang ingat saya ini hanya nak lakonan yang control macho saja, tetapi ini bukan bermaksud saya hendak menjadi pelawak sebaliknya saya hanya nak menghiburkan penonton dengan karekter sebegini,” katanya ketika ditemui semasa majlis tayangan perdana filem Ngorat di Cathay Cinexplex, Mutiara Damansara, semalam.

Melalui watak sebagai Arjuna Kasih, Aaron muncul dalam beberapa adegan yang mampu mengeletak hati penonton seperti ketika dia menari ala K-Pop serta beberapa dialognya dalam filem itu.

“Antara adegan yang saya agak segan nak beri ‘all out’ adalah ketika menari lagu K-Pop itu, walaupun pengarah suruh beri lebih lagi ketika menjayakan adegan itu,” katanya berseloroh.


Ketika ditanya adakah Aaron akan membawakan watak komedi sebegini pada filem akan datang, Aaron menyatakan, “kalau ada peluang lain untuk berlakon filem bergenre sebegini, saya akan cuba lagi tetapi tengok kesesuaian watak juga lah.”

Selain itu, Aaron turut menjemput kelab peminatnya yang dikenali sebagai Aaronators, hadir semasa sesi tayangan perdana itu dan menyatakan, “walaupun saya bukan memegang watak utama dalam filem ini tetapi saya mahu peminat saya juga memberi sokongan kepada filem arahan Prof Razak serta Iedilputra yang memegang watak utama dalam filem Ngorat.”

Ngorat yang turut dibarisi pelakon Erra Fazira, Nas-T, Zain Hamid dan Tania Hudson bakal menemui penonton mulai 4 Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Aaron bakal terbang ke Cape Town, Afrika Selatan pada awal bulan untuk menjalani penggambaran rancangan realiti yang melibatkan 30 selebriti tempatan, ‘Fear Factor Malaysia’ di mana dia mengalas tanggungjawab sebagai pengacara bagi program francais popular daripada Amerika Syarikat itu.