Wednesday, April 02, 2014

[ARTIS] Foto: Respon Ziela Jalil Isu Peluk Keith Foo

Secara tiba-tiba populariti pelakon Keith Foo, 31, kini berada di kemuncak. Kemunculan pertama menerusi drama bersiri Ariana Rose ternyata memberi impak hebat buatnya apabila dikenali ramai dalam sekelip mata.

Sebelum itu, pelakon berdarah kacukan India dan Cina ini terlebih dulu meneroka pasaran seni Indonesia.

Pemilihannya melakonkan watak Tengku Adam dalam drama adaptasi daripada novel The Wedding Breaker karya Evelyn Rose ini seakan membawa sinar buat kariernya dalam industri seni lakon tempatan.

ZIELA kesal peminat mengkritiknya mengguna ayat melampau di Instagram.

Bagaimanapun tidak dinafikan juga peranan yang dimainkan oleh penerbit Ziela Jalil, 44, yang membuka peluang kepada Keith membintangi drama arahan Raja Ahmad Alauddin ini. Jasa penerbit daripada Pena Creative Pictures Sdn Bhd yang meyakinkan stesen TV3 agar menerima Keith berlakon sememangnya besar.

Dek kerana mengenang jasa itulah, hubungan kedua-duanya agak mesra dan akrab. Apatah lagi perbezaan umur di antara mereka membuatkan kedua-duanya menganggap hubungan ini bagaikan adik dan kakak.

Ziela pula tanpa berselindung berkongsi gambar kemesraan mereka menerusi laman Instagram dan Twitter miliknya. Niatnya lain namun tanpa disangka, gambar-gambar ini mencetuskan sensasi dalam kalangan peminat hingga ada yang mengkritik tindakan Ziela.

Lebih teruk, ada yang menganggap dia mempermainkan agama kerana sanggup bergambar begitu sedangkan penampilannya nampak Islamik.

Lebih biadap, segelintir mereka sanggup mengeluarkan ayat yang berunsur menghina terhadap ibu tunggal kepada tiga anak iaitu Puteri Julia Nabilah, 21; Megat Jufri Nasrullah, 19; dan anak angkat Ibrahim Junid Abdullah yang berusia setahun.

Apakah sebenarnya yang berlaku? Ikuti wawancara wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) dengan penerbit gigih ini baru-baru ini.

RAP: Bagaimana boleh ambil Keith berlakon?

ZIELA: Untuk sesebuah projek drama saya akan pilih pelakon yang sesuai dengan watak. Bagi drama Ariana Rose, saya memang nampak Keith berdasarkan pengalamannya di Indonesia sebelum itu.

Dia ada ciri-ciri untuk watak Tengku Adam. Ketika mencadangkan kepada TV3 dan mereka akhirnya bersetuju. Ternyata keserasiannya dengan Fathia juga bagus sehinggakan buat drama ini jadi menarik.

RAP: Apakah ada sifat pilih kasih dalam pemilihan pelakon?

ZIELA: Sebenarnya saya memang tiada pelakon ‘in house’ atau pilihan. Selalunya pemilihan mereka dibuat berdasarkan pada kesesuaian watak dan perbincangan dengan stesen TV. Apabila semuanya sudah bersetuju, barulah penggambaran dimulakan.

RAP: Apa pula reaksi Keith selepas dirinya popular?

ZIELA: Keith berterima kasih kepada saya kerana ambil dia berlakon cerita ini. Saya beritahu ini bukan kerana saya tapi semuanya atas ketentuan Allah SWT.

Rezekinya nak datang secara ini. Macam saya dulu awalnya dipilih untuk berlakon sebagai pelakon sampingan filem Mr Os. Alih-alih ketika sidang media, diumumkan membawakan watak utama.

RAP: Apakah Pena Creative akan terus ambil Keith berlakon dan bagaimana jika dia dilamar oleh produksi lain?


ZIELA: Saya memang tak suka dikata menaikkan seseorang kerana mereka juga ada bakat tersendiri. Sebenarnya saya suka tengok bakat baru berkembang dan beri peluang kepada mereka berlakon. Untuk projek terbaru membabitkan Keith masih dalam perancangan. Dia sekarang berlakon filem dan ini satu perkembangan baik. Fathia pula sibuk dengan pelajarannya.

RAP: Hubungan dengan semua pelakon pula bagaimana?

ZIELA: Saya baik dengan semuanya sama ada Keith, Fathia, Sharnaaz dan Nellydia. Saya baru sekali jumpa dengan Keith selepas habis drama Ariana Rose. Dengan Fathia pun baru jumpa sekali. Sharnaaz pula ada penggambaran di Hong Kong manakala Nellydia dengarnya kembali sambung belajar. Setiap kali berjumpa mereka, saya akan paparkan gambar-gambar kami di Instagram.

RAP: Bagaimana pula dengan gambar terbaru dengan Keith yang mencetuskan kontroversi sekarang?

ZIELA: Memang saya mengaku gambar itu jadi bualan peminat. Saya jenis kasihan dengan pengikut Instagram dan tak pernah ‘delete’ atau ‘block’ sesiapa. Sebelum ini saya tak pernah dikritik begitu. Ia hanya bermula ketika saya bergambar dengan Hisyam Hamid dan Keith.

RAP: Adakah terfikir tanggapan yang bukan-bukan daripada peminat menerusi gambar ini?

ZIELA: Saya dikata macam-macam seolah-olah ada hati dan nak menggatal dengan mereka. Kalau suka, aksinya tak begitu. Baik saya peluk saja mereka dari belakang! Saya anggap mereka semua ini macam adik-beradik. Apatah lagi muka Keith pun ada iras muka anak saya Jufri. Saya tak fikir soal lain pun.

RAP: Bagaimana boleh bergambar begitu?

ZIELA: Keith datang bertemu saya berkenaan isu kontraknya yang ada masalah sebelum ini. Sesudah itu kami bergambar. Ketika itu saya terfikir kalau masukkan gambar ini di Instagram pasti akan jadi isu. Tapi apa salahnya saya berkongsi gambar ini dengan peminat. Memang betullah selepas itu teruk saya kena kutuk. Mulanya saya tak nak jawab kerana beranggapan suka hatilah sesiapapun nak kutuk. Tapi saya bengang apabila ada yang kaitkan nama anak saya dan suruh mereka ajar saya. Tak perlulah nak ajar mereka sampai begitu sekali. Cara mereka bukannya nak menasihat tapi lebih untuk mengaibkan orang.

RAP: Sampai bila kes ini nak berlarutan?

ZIELA: Saya sebenarnya tak nak jawab mereka banyak-banyak kerana nanti tiada kesudahan. Sebenarnya saya tak pernah kata benda itu betul. Saya tak pernah nak halalkan benda yang tak betul. Memang saya pegang tangan Keith dan saya tak katakan perbuatan ini betul, tapi cara menegur itu salah.

Saya bukan sempurna, bagaimanapun sebagai manusia kita perlu amalkan adab hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia. Sekali lagi saya katakan cara menegur itu yang tak kena kerana ayat yang digunakan sangat melampau.

RAP: Terfikir nak privasikan akaun anda atau ‘delete’ mereka?

ZIELA: Saya tak akan buat begitu. Sebabnya saya nak ajar peminat ini agar orang menilai kata-kata mereka. Biar orang tahu cantiknya bahasa manusia. Tak dinafikan anak-anak saya amat marah dengan peminat ini, tapi saya minta biarlah saya selesaikan sendiri dan minta mereka hormat pada orang tua.

RAP: Apa lagi yang dikatakan oleh mereka?

ZIELA: Memang pelik bila ada yang kata tak nak ‘follow’ Instagram saya sedangkan saya tak suruh pun. Saya nasihatkan mereka supaya janganlah menjadi pengikut Instagram artis.

Sebenarnya matlamat mereka hanya untuk cari salah. Orang tahu dulu saya macam mana dan sekarang penampilan sudah lain.

Apapun saya tak nak bersangka buruk dan menasihatkan mereka baik-baik dan berada dalam rahmat Allah SWT. Saya tak suka bergaduh dengan peminat selagi mereka tak sentuh mengenai anak-anak, arwah suami dan ibu. Saya akan marah jika disentuh soal itu – Hmetro Online