Teka-teki dan persoalan kini sudah terjawab. Situasi menang-menang akhirnya dicapai MASK Team dan Istana Budaya apabila membuat keputusan mengekalkan pelakon Hanez Suraya untuk pementasan teater Projek Kahwin di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 hingga 14 Jun depan.
Bagaimanapun, pelakon kontroversi ini terpaksa berkongsi watak Nisa de–ngan pelakon Kilafairy yang sebelum ini digembar-gemburkan sebagai pengganti Hanez.
GANDINGAN tiga artis, Kila, Hanez dan Kaka.
Pengarah Urusan MASK Team dan penerbit Mohd Amer Syafiq Khalip berkata, keputusan ini diambil selepas mengadakan perbinca–ngan dengan pelbagai pihak termasuk Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
“Hanez menghubungi saya menyatakan hasrat menarik diri tapi saya minta dia bersabar dulu kerana ia boleh menjejaskan beberapa pihak termasuk Istana Budaya. Tak dinafikan saya sudah menyediakan pelan B dengan menawarkan watak ini kepada Kilafairy.
“Apabila berbincang dengan Datuk Juhari, beliau minta Hanez kekal berlakon kerana kesungguhannya dalam mempromosi teater ini sejak awal. Kami berbincang dan keputusan muktamad hanya dicapai pada jam 5.30 petang Isnin lalu. Alhamdulillah keputusan ini melegakan semua pihak,” katanya dalam sidang media di Istana Budaya, petang kelmarin.
Amir berkata, dia memilih Kilafairy sebagai pengganti kerana ciri-ciri watak Nisa ada padanya.
“Dia seorang pelakon yang boleh dibentuk dalam teater,” katanya.
Amir berkata, hasil perbincangan itu, mereka menetapkan Kilafairy terbabit untuk enam persembahan iaitu pada 6, 7 (dua persembahan termasuk matinee), 8, 10 dan 11 Jun, manakala Hanez untuk empat persembahan pada 12, 13 dan 14 Jun (dua persembahan termasuk matinee).
Keputusan ini juga dilihat akan memberi lebih pilihan buat penonton.
Selain mereka, Amir turut mengumumkan penyertaan kumpulan Forteen dan penyanyi Kaka Azraff dalam teater arahan Muhammad Azri Ali ini.
Pelakon lain yang terbabit ialah Izzue Islam, Imam Muda Asyraf, Shah Iskandar, Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan Fazleena Hishamuddin.
Amir berkata, masalah yang berlaku dalam proses pementasan Projek Kahwin adalah satu cabaran buat mereka dan membuatkan dia belajar banyak perkara.
“Maklumlah sebelum ini kami hanya biasa buat pementasan untuk 100 peminat. Sekarang kami perlu beraksi depan lebih 1,000 peminat, sudah tentu suasananya berbeza. Selain pementasan kami turut mengadakan pameran pengantin Projek Kahwin di lobi Istana Budaya pada 11 hingga 15 Jun dari jam 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, pihaknya bertegas mahukan Hanez berlakon kerana dia sudah terbabit dengan promosi Projek Kahwin sejak tahun lalu.
ANTARA tenaga kerja teater Projek Kahwin.
“Amir datang merujuk perkara ini, tapi saya merasakan tak adil untuk Hanez menarik diri. Saya minta Hanez diberi peluang kerana melihat kesungguhannya hadir ke teater Maduku Kalut. Nampak dia nak sangat beraksi di Istana Budaya. Kebetulan Amir pula sudah berunding dengan Kilafairy. Akhirnya saya beri idea untuk selesaikan masalah.
“Saya berterima kasih kepada Hanez kerana kekal berlakon. Saya sedar tindakan ini pasti mengundang kontroversi. Tak mengapalah sebab Istana Budaya memang suka kontroversi. Saya juga percaya Hanez dapat menarik penonton generasi baru,” katanya.
Mengenai ugutan segelintir peminat yang ingin membuat kacau dan membaling telur kepada Hanez sekiranya terus terbabit dengan teater ini, Juhari berkata, pihaknya akan melakukan persediaan secukupnya.
“Jangan takut hadapi apa yang akan terjadi dua bulan lagi. Segala ugutan itu hanya kecoh di laman sosial. Apa yang kami janjikan, perkara ini takkan berlaku. Kami akan sediakan anggota polis untuk menahan sesiapa yang buat perkara ini,” janjinya – Hmetro Online