Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata penjelasan tersebut perlu dilakukan memandangkan pelbagai tanggapan dan kesimpulan ditafsirkan rakyat terhadap kenyataan tersebut.
“Apa sebenar yang dimaksudkan dengan ‘berakhir di Lautan Hindi’ itu? Ketika mengumumkan perkara tersebut, Datuk Seri Najib Razak menyatakan akan memperincikannya, bagaimanapun tiada sebarang perincian mengenainya sehingga hari ini,” tegas beliau pada satu sidang media, di parlimen, hari ini.
Kenyataan tersebut, katanya menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan rakyat hingga kebanyakannya beranggapan seolah-olah pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi, walaupun kemudiannya dinafikan ia bermaksud sedemikian.
Ekoran spekulasi sedemikian, kerajaan dikatakan akan menimbang untuk mengambil tindakan terhadap media asing yang dikatakan memanipulasi kenyataan Najib seolah-olah pesawat MH370 terhempas.
Justeru, beliau dalam masa sama mempersoalkan adakah kerajaan akan turut berhasrat mengambil tindakan terhadap media dalam negara yang turut melaporkan perkara yang sama.
“Adakah kerajaan juga bersedia untuk mengambil tindakan terhadap media dalam negara, yang turut sama melaporkan perkara sedemikian? Sebagai contoh, Harian Metro yang meletakkan tajuk ‘Pusara di Lautan’,” tegas beliau lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, turut mendesak agar kerajaan memaklumkan kepada umum berkenaan transkrip perbualan di kokpit pesawat berkenaan.
“Apa transkrip perbualan tersebut? Kenapa mahu tutup transkrip itu? Ia seolah-olah ada niat jahat dan dianggap tidak mahu berterus-terang, sedangkan ia sepatutnya diumum lebih awal,” tegas beliau yang bersama pada sidang media tersebut.
Dalam pada itu, Kit Siang turut meminta kerajaan memberi perhatian yang serius terhadap tinjauan yang dilakukan Merdeka Centre yang mendapati kebanyakan rakyat Malaysia tidak gembira dengan cara kerajaan Malaysia menangani krisis MH370.
Tambah beliau, kerajaan perlu mendengar dan menerima pandangan mereka sebagai rakyat, sekaligus jangan menganggap mereka sebagai anti-nasional kerana menegur kerajaan.
Keadaan ini, katanya timbul ekoran terlalu banyak persoalan tentang isu-isu berbangkit berkaitan insiden ini yang berlaku pelbagai percanggahan di antara pihak berkuasa.sumber