“Saya langsung tak sangka niat menjadikannya peneman hidup baru selepas kematian isteri lapan bulan lalu, dibalas begini.
“Sudahnya saya pula meminta perlindungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana diburu along yang meminta saya menjelaskan pinjaman dengan segera selain bimbang keselamatan anak,” kata Nasir, 45, (bukan nama sebenar) yang terpedaya dengan cinta seorang gadis dari utara tanah air."
Duda tiga anak yang bekerja sebagai penjaga stor itu yang kini berhutang dengan along RM51,000 akibat simpati dengan gadis berusia 24 tahun itu kononnya memberi alasan ibu uzur dan adik menghidap leukimia.
“Kerana sayang, saya beri duit hingga terpaksa pinjam daripada along."
Sepatutnya kami berkahwin Februari lalu tapi kini dia menjauhkan diri selepas wang saya dikikis,” katanya.
Nasir yang mempunyai anak berusia 8 hingga 17 tahun berkata, semuanya bermula apabila dia menegur gadis itu di Facebook sebulan selepas kematian isteri.
“Selepas sehari berkenalan, dia mahu meminjam RM200 kerana ingin membeli ubat untuk ibu dan adiknya yang sakit."
"Dia berjanji membayar semula."
“Tanpa banyak soal, saya memasukkan wang ke dalam akaun milik adiknya dan selang dua hari, dia meminta lagi."
Kerana simpati, saya mengeluarkan wang simpanan untuk membantunya,” katanya ketika membuat aduan kepada Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM Yati Sharuddin di sini, semalam.
Selepas itu, menurut Nasir, gadis terbabit terus meminta wang RM500 hingga RM1,000 berulang kali menyebabkan dia mula meminjam daripada along dengan alasan perlukan kos tambahan membeli ubat.
Dia sentiasa ditemani anak sulung ke kafe siber setiap malam untuk bersembang dengan gadis yang menambat hatinya itu, namun tidak memaklumkan dirinya dilamun cinta kerana bimbang anak tidak menerimanya.
“Sampailah satu hari anak sulung bertanya kenapa saya sering ke kafe siber dan berbual dengan seseorang menerusi telefon."
Saya memberitahu sedang serius berkawan dengan perempuan dikenali melalui Facebook dan anak menerima dengan baik,” katanya.
Selepas tujuh bulan berkenalan, kata Nasir, dia tidak sedar sudah meminjam RM30,000 dan kini along menuntut RM51,000.
“Saya tidak mampu bayar dan selepas diugut, saya tidak ada tempat lain untuk mengadu.
“Along pernah mengugut anak saya."
Setiap hari selepas balik dari sekolah, mereka mengunci pintu rumah kerana bimbang didatangi along.
Saya tidak tahan lagi, lalu bawa mereka ke PPIM untuk meminta bantuan dan perlindungan,” katanya.
Nasir berkata, dia pernah menunggu di stesen bas Larkin, Johor kerana kekasihnya itu tidak muncul biarpun berjanji mahu datang bertemunya.
“Di situ saya mula rasa tertipu."
Apatah lagi, setiap hari saya dan anak seolah-olah menjadi buruan.
Saya desak dia supaya bayar semula semua wang saya, tapi dia langsung tidak hiraukan,” katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor, Rabu lalu.
Sementara itu, Yati berkata, pihaknya membantu Nasir dan berbincang dengan along bagi menjadualkan semula pembayaran mengikut kadar yang sesuai.
HMetro