Suatu percutian pantai pastinya sempurna apabila berada di persekitaran bersih dengan pemandangan yang mempesonakan. Namun demikian, terdapat beberapa pantai di dunia yang tidak selamat dilawati. Kami menyenaraikan 10 pantai yang berbahaya di dunia untuk tatapan umum.
Pulau Fraser, Australia
Pulau unik seluas 123 kilometer persegi ini terletak berhampiran pesisir pantai Queensland, Australia. Selain keindahan yang mempesonakan, pulau ini juga merupakan pulau pasir terbesar di dunia.
Keunikan Pulau Fraser ialah ia mempunyai sebuah hutan hujan yang tumbuh di atas bukit pasir setinggi 200 meter dari permukaan laut, sekali gus menjadi tarikan semula jadi di situ.
Selain itu, pengunjung boleh mengetahui sejarah bangkai kapal di S.S Maheno yang terdampar di pantai tersebut, di samping mendekati keindahan cenuram pasir berwarna, The Pinnacles.
Namun begitu, pengunjung perlu berhati-hati apabila berada di perairan pantai ini kerana terdapat haiwan marin yang ganas seperti jerung dan obor-obor beracun, di samping anjing liar yang dikenali sebagai Dingo yang dilaporkan adakalanya menyerang manusia.
Pantai Chowpatty, India
Pantai Chowpatty terletak di Mumbai dan menjadi salah satu pantai umum paling terkenal di India. Ratusan penduduk daripada seluruh Mumbai akan membanjiri pantai ini di antara Ogos dan September setiap tahun bagi menyambut perayaan Ganesh Chaturthi yang diadakan untuk menghormati Dewa Ganapati.
Sungguhpun menjadi tumpuan ramai, Pantai Chowpatty dicemari dengan timbunan sampah sarap dan keadaan air yang tercemar, menjadikan aktiviti mandi-manda tidak digalakkan kerana berisiko menjejaskan kesihatan.
Pantai Gansbaai, Afrika Selatan
Pantai Gansbaai menjadi destinasi pelancongan popular di Western Cape, Afrika Selatan. Ia terkenal dengan kepadatan tinggi populasi jerung putih dan lokasi melihat paus. Antara aktiviti tarikan di sana ialah menyelam di dalam sangkar bersama jerung putih.
Jerung putih dikatakan mengganas ketika musim anjing laut membiak.Kebanyakan serangan dipercayai berlaku apabila manusia disalah anggap sebagai anjing laut.
Pantai Bolinas, California
Pantai Bolinas menjadi syurga bagi peminat sukan luncur air. Namun begitu, peluncur harus mengambil langkah berjaga-jaga kerana terdapat banyak jerung putih di pantai ini yang mencari sumber makanannya di sini.
Peluang untuk diserang pemangsa marin ini cukup tinggi kerana ia boleh dilihat dari air pantai yang jernih ini.
Selain itu, para pengunjung dinasihatkan untuk tidak turun ke pantai pada waktu malam bersendirian dan memakai sebarang perhiasan berkilat yang boleh menarik perhatian pemangsa berkenaan.
Pantai Hanakapiai, Hawaii
Pantai Hanakapiai terletak di Hawaii, Amerika Syarikat. Pantai berkeluasan 3.2 kilometer ini menjadi tumpuan dengan kehalusan pasir dan lautnya yang membiru. Sungguhpun demikian, sekurang-kurangnya 83 individu telah dilaporkan lemas ekoran keadaan ombak dan arus karau yang kuat.
Pantai Maho, Sint Maarten
Pantai Maho terletak di pulau Caribbean, Saint Martin. Lokasi ini terkenal kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Princess Juliana terletak bersebelahan pantai.
Ekoran itu, ia menjadi tumpuan pemerhati pesawat yang berkunjung untuk melihat pelbagai jenis pesawat komersial berlepas dan mendarat dari jarak dekat.
Selain masalah bising, pengunjung berdepan risiko terpelanting ke dalam air terkena tujahan enjin pesawat. Sehubungan itu, kerajaan tempatan telah meletakkan tanda amaran yang memaklumkan pesawat berlepas dan mendarat boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.
Pantai Sandy, Hawaii
Pantai Sandy yang terletak di selatan Oahu, Hawaii di Amerika Syarikat merupakan salah satu pantai yang popular dalam kalangan remaja dan dewasa. Ia dikenali sebagai lokasi menarik bagi aktiviti luncur badan kerana ombak yang pecah berhampiran dengan pantai.
Pantai yang mempunyai pasir putih menggoda ini berbahaya ketika gelombang ombak besar dengan kehadiran arus karau.
Pantai Copacabana, Brazil
Bandar Rio de Janeiro di Brazil merupakan kota yang terkenal dengan kemeriahan pelbagai acara. Kota ini juga memiliki pantai indah dengan hamparan pasir putih sepanjang empat kilometer iaitu Pantai Copacabana.
Padat dengan pengunjung, pantai terkenal itu juga dikenali dengan pencuri atau penyeluk saku. Oleh itu, pengunjung diminta untuk meninggalkan barang-barang berharga di hotel sebelum menikmati percutian mereka di pantai tersebut.
Bikini Atoll, Amerika Syarikat
Bikini Atoll merupakan satu atol yang terdiri daripada gugusan 23 buah pulau di Kepulauan Marshall, Amerika Syarikat. Di antara tahun 1946 dan 1958, kepulauan yang kini menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ini menjadi lokasi lebih 20 ujian senjata nuklear. Selain risiko radioaktif yang mungkin masih wujud, pulau tersebut juga berbahaya kerana bilangan jerung yang tinggi.
Pantai Playa Zipolite, Mexico
Playa Zipolite merupakan komuniti pantai yang terletak di pesisir selatan Oaxaca, Mexico. Sesetengah pihak mendakwa perkataan ‘Zipolite’ datang daripada bahasa Nahutl yang bermakna ‘Pantai kematian’.
Pantai kecil sepanjang dua kilometer yang sering menjadi tumpuan ini, khususnya golongan backpacker, terkenal dengan ombak besar dan arus karau yang kuat.
Sumber: Kosmo