Wednesday, July 02, 2014

MESTI BACA!!! Apa Hukumnya Memakai Gincu Bibir Di Bulan Puasa ?


Assalamualaikum, terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu yang dapat saya manfaatkan. di sini saya ada sedikit kemusykilan. adakah benar pemakaian gincu akan menyebabkan puasa terbatal? bagaimana sekiranya menyapu pelembab bibir? terima kasih.

Jawapan:

1. Dari segi puasa, memakai gincu atau pelembab bibir tidaklah membatalkan puasa jika dapat dijaga jangan sampai bahan dari gincu itu bercampur dengan air liur dan tertelan ke dalam kerongkong. Hukumnya sama seperti menggunakan ubat gigi ketika sedang berpuasa. Jika bahan dari ubat gigi tidak masuk ke dalam kerongkong (yakni kita menggosok gigi dengan menjaga jangan sampai tertelan bahan dari ubat gigi itu) tidaklah membatalkan puasa kita.


2. Dari segi hukum berhias, tidak harus wanita Islam memakai gincu bibir yang terlalu menonjol warnanya yang menarik perhatian lelaki kepadanya. Itu termasuk dalam tabarruj yang dilarang agama. Sebaiknya gincu bibir berwarna hanya dipakai isteri untuk suami sahaja di rumah. Adapun yang sederhana yang sekadar mengekalkan warna asal bibir atau untuk melembabkan bibir sahaja, insya Allah diharuskan.


3. Satu lagi perlu dingatkan; bahan-bahan solekan yang digunakan (sama ada losyen, gincu, bedak muka dan sebagainya) wajib dipastikan ia bersih dan suci, iaitu bebas dari bahan-bahan najis seperti lemak babi, gelatin haiwan yang syubhah dan sebagainya. Di samping hendaklah dipastikan juga tidak mendatang mudarat kepada kulit atau badan kerana setiap yang memudaratkan adalah dilarang dalam Islam.


Wallahu a’lam. oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL