Wednesday, February 04, 2015

Pelakon Power Rangers "Merah" tikam teman sebilik hingga mati




Los Angeles – Pelakon yang membawa watak utama dalam rancangan bersiri televisyen Power Rangers ditangkap selepas menikam teman sebilik hingga mati, semalam. Menurut pegawai polis, Ricardo Medina Jr ditahan di California selepas dia disyaki menikam rakannya dengan sebilah pedang.

“Dia kini berada dalam tahanan dan menghadapi dakwaan menyebabkan kematian,” katanya.

Medina Jr, 36, dikenali dengan watak Red Ranger dalam Power Rangers Wild Force pada 2002, selain pernah menyandang watak Deker dalam Power Rangers Samurai. Dia dipercayai menyebabkan kematian rakannya, Joshua Sutter.

Polis berkata, sebelum itu Medina Jr dan Sutter bertengkar sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan berlaku pergelutan. Bagaimanapun, polis tidak menjelaskan apa yang menjadi punca pergaduhan itu.

Sumber berkata, selepas bergaduh Medina Jr masuk ke bilik bersama kekasihnya tetapi Sutter meluru tidak lama kemudian, menyebabkan suspek mencapai pisau di belakang pintu dan merodok perut mangsa.

Sejurus kemudian Medina Jr menghubungi polis. Dia kini ditahan dengan ikat jamin AS$1 juta (RM3.6 juta), lapor Agensi.