Sunday, October 21, 2012
- In: Bola Sepak
- Posted By: Anonymous
Jurulatih Kelantan Berpuas Hati Dengan Anak Buah
SHAH ALAM- Jurulatih Kelantan Bojan Hodak menyatakan rasa gembiranya selepas anak didiknya berjaya melengkapkan kejuaraan trebel pada saingan Liga Malaysia musim ini.
Beliau berkata kejayaan pasukan tersebut itu berdasarkan faktor kecekapan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selain semangat berpasukan yang tinggi di kalangan pemain skuad 'The Red Warriors.'
"Saya gembira kerana kita telah berjaya memenangi tiga piala dan saya berharap momentum tersebut dapat diteruskan pada musim depan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas final Piala Malaysia di Stadium Shah Akam di sini, Sabtu malam.
Kelantan, yang sudah memiliki gelaran juara Liga Super dan Piala FA, melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2010 dengan mengetepikan ATM 3-2 selepas masa tambahan.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Hodak berpuashati dengan persembahan anak buahnya walaupun terpaksa bertarung sehingga ke masa tambahan.
'Saya gembira kerana bahagian pertahanan berjaya menyekat kemaraan jentera serangan pasukan ATM pada separuh masa kedua.
"Walaupun ATM berjaya menyamakan kedudukan pada akhir babak kedua, saya menasihatkan pemain saya supaya tidak mudah mengalah dan hasilnya, pasukan kita (Kelantan) berjaya memenangi perlawanan ini," katanya.
Sementara itu, jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata kegagalan pasukan itu untuk menjulang Piala Malaysia buat pertama kali adalah disebabkan oleh nasib yang tidak menyebelahi mereka.
"Saya bangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain saya walaupun terpaksa menghadapi pasukan yang dibarisi oleh ramai pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha," katanya.
Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata kegagalan pasukan bimbingannya tidak akan mematahkan semangat beliau untuk terus membawa skuad yang digelar 'The Gladiators' menjadi pasukan yang lebih disegani pada musim depan.
ATM muncul juara Liga Perdana musim ini dan akan bersaing dalam Liga Super musim depan- BERNAMA