Sunday, November 11, 2012
- In: artis malaysia
- Posted By: Anonymous
Maya Karin & Papa Tawan Puncak Tserkori
SELAIN mengembara dan meneroka pelbagai tempat menarik di seluruh dunia, aktiviti lasak juga tidak asing dengan aktres handalan, Maya Karin Roeckle.
Sebutlah apa saja aktiviti lasak termasuk mendaki gunung, semuanya ingin dicuba pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman yang menempa nama dalam filem Anak Halal, Ombak Rindu dan Pontianak Harum Sundal Malam ini.
Antara gunung yang pernah didakinya ialah Gunung Kinabalu, gunung di Switzerland dan Peru, Amerika Selatan sebelum ini. Terbaru, Maya menimba pengalaman yang cukup mencabar ketika mendaki Gunung Tserkori di Langtang, Kathmandu, Nepal selama lapan hari pada Oktober lalu.
Maya, 33, akui semuanya bermula apabila ayahnya yang bekerja sementara di Nepal beriya-iya memujuknya untuk turut sama mendaki gunung di sana.
“Papa memang mengajak saya seorang untuk menyertainya dan isteri mendaki gunung di Nepal itu kerana adik perempuan saya berada di New York manakala adik lelaki pula di Mexico ketika itu. Pada mulanya, saya tidak merancang mendaki gunung di Nepal, tapi kerana pujukan papa akhirnya mencairkan hati saya.
“Selepas lapan hari di kawasan pergunungan di Nepal barulah saya berasa kepuasan dan keseronokan mendaki gunung serta teringin untuk kembali lagi ke sini selepas ini. Selepas berjaya mendaki gunung di Nepal barulah saya berminat menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai hobi yang tetap pada masa depan,” katanya.
Bercerita lanjut soal persediaan, kata Maya, dia memang memastikan dirinya sentiasa kekal cergas dengan melakukan aktiviti berkaitan sebelum berlepas ke Nepal.
“Kalau tidak mendaki gunung pun, saya memang selalu bersenam di gimnasium, buat seni Muay Thai dan yoga untuk pastikan diri kekal cergas setiap hari.
Selain itu, saya juga menyediakan peralatan lengkap seperti baju sejuk dan
kasut sesuai untuk mendaki gunung berbekalkan pengalaman sebelum ini.
“Mendaki terutama di lokasi berisiko atau curam di luar negara memerlukan persediaan lengkap dan rapi kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat sambil lewa atau main-main kerana boleh membahayakan keselamatan kita.
“Contohnya, saya dapat tahu ada seorang pendaki wanita warga asing yang mati ketika mendaki gunung di Nepal tahun lalu. Lebih menyedihkan, seorang bekas kawan sekolah saya dari Indonesia juga meninggal dunia ketika mendaki gunung di Switzerland, 10 tahun lalu,” katanya.
Kagumi alam ciptaan Tuhan...
PELBAGAI cabaran dilalui Maya dan bapanya sepanjang pendakian selama lapan hari mendaki gunung di Nepal yang setinggi 5,000 meter itu. Namun, dia dan ayahnya tetap cekal serta tidak berputus asa untuk sampai ke puncak yang membabitkan empat fasa pendakian.
“Saya juga mengalami kecederaan. Lutut saya agak sakit dan luka di kaki dek ‘dimakan’ kasut. Hidung saya juga berdarah dan kulit pecah-pecah kerana berdepan dengan cuaca terlalu sejuk selama tiga hari berturut-turut hingga mencecah 2 darjah Celcius pada waktu malam.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka mampu menawan puncak gunung itu dengan hanya makan telur, sayur dan roti saja sepanjang di sana. Ibu tiri saya pula hanya sampai ke fasa yang ketiga kerana dia tidak larat lagi meneruskan pendakian dan menunggu kami di bawah.
“Sepanjang pendakian, keadaan papa OK cuma apabila hampir sampai ke puncak dia mula penat dan susah hendak bernafas. Mungkin kerana faktor usianya yang sudah lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, selepas mendaki selama empat hari berturut-turut, barulah Maya dan ayahnya sampai ke puncak gunung yang ingin ditawan itu.
“Namun semua penat lelah dan kesakitan yang ditanggung hilang dalam sekelip mata apabila puas melihat keindahan puncak Tserkori yang dilitupi salji dan gunung sekelilingnya yang kini berada depan mata. Saya juga dapat lihat sempadan Tibet dari puncak gunung itu,” katanya.
Menyentuh sisi peribadinya pula, Maya yang baru memegang status solo hampir tiga tahun kini hangat terkena gosip semula dengan aktor kacak Remy Ishak, mengakui masih selesa dengan status sekarang.
“Saya memang selesa berkawan rapat dengan Remy ketika ini, tapi kami sekadar berkawan rapat. Kemungkinan kami kembali bersama pula, saya hanya serahkan semuanya kepada takdir. Setakat ini, status saya masih solo kerana masih belum bertemu calon suami yang berkenan di hati,” kata duta produk Sorella ini.
Ditanya sama ada dia beralih hobi mengembara dan menceburi aktiviti lasak seperti mendaki gunung untuk mengisi kekosongan hidupnya yang sunyi, Maya yang baru selesai penggambaran filem Jwanita arahan Osman Ali ini menafikannya.
“Hidup saya sudah bahagia dikelilingi keluarga tersayang dan teman rapat.
Selepas penat bekerja dan menghabiskan masa di lokasi penggambaran, sesekali saya juga ingin lari dari kesibukan dunia lakonan. Selain berlakon kerana minat yang cukup mendalam, saya juga gunakan duit hasil lakonan untuk mengembara ke luar negara,” katanya.