Saturday, March 16, 2013

Siti Nurhaliza Bakal Berduet Bersama Babyface

“Siti berbesar hati dengan peluang keemasan ini tetapi pada masa sama, ia memang mendebarkan,” kata Datuk Siti Nurhaliza ketika diminta komen mengenai persembahan duetnya bersama penyanyi antarabangsa popular, Babyface pada majlis amal sempena Grand Prix Formula One 2013.


Menurut penyanyi Cindai itu, ini peluang kedua beliau menyanyi bersama artis antarabangsa selepas Gareth Gates ketika majlis MTV Asia Awards di Singapura beberapa tahun lalu. Sebelum ini, Siti pernah merakamkan lagu duet bersama Sean Kingston tetapi belum berpeluang menyanyi bersama di atas pentas.

Bagi acara bertujuan mengutip dana Yayasan Institut Jantung Negara dan akan berlangsung pada 21 Mac 2013 ini, Siti ada menerima beberapa lagu nyanyian Babyface dicadangkan pihak penganjur dan akan memilih yang bersesuaian.

“Bagaimanapun, Siti belum buat keputusan untuk lagu pilihan tetapi yang penting, ia lagu popular Babyface. Apapun Siti berjanji akan membuat persembahan terbaik bersama komposer hebat itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Siti turut berterima kasih kepada penganjur kerana mengundangnya dalam persembahan bersama Babyface.

Babyface yang popular dengan lagu Everytime I Close My Eyes secara dasarnya bersetuju untuk berpadu suara bersama Siti.