Friday, March 22, 2013

Zain Hapus Akaun Instagram Selamatkan Maruah Rozita

Pelakon Zain Saidin membuat keputusan menghapuskan akaun laman sosial Instagram miliknya untuk mengelak cemuhan dan kritikan pengikutnya selepas dia memuat naik gambar-gambarnya bersama Rozita Che Wan.


Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, keputusan itu dibuat semata-mata untuk menjaga maruah, nama baik serta imej yang dibawa oleh kekasihnya itu.

"Ya... Saya padam akaun (Instagram) kerana tidak mampu untuk mengawal orang yang beri komen dan kutukan pada setiap gambar yang saya muat naik.

"Gambar-gambar itu hanyalah sekadar gambar biasa sahaja, bukannya gambar tidak sopan. Kalau ada pun mungkin hanya skirt (Rozita) tertarik sikit semasa sedang duduk," ujarnya kepada ketika ditemui selepas sidang media pelancaran Oh My English! musim ke 2 di Sekolah Wawasan, USJ 16, Subang Jaya di sini pada Rabu.

Dia menamatkan akaun tersebut pada malam Isnin lalu selepas gambar bersama Rozita, 40, dikecam kerana wanita itu dituduh berpakaian seksi.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangannya selepas berumah tangga kelak, Zain berkata dia tidak pernah merancang untuk mendapat anak memandang faktor usia Rozita.

Bagaimanapun dia menyerahkan perkara tersebut kepada Allah.

"Selepas berkahwin nanti saya merancang untuk buat bisnes agar kehidupan kami lebih stabil. Kalau boleh biarlah Rozita berehat dan kerja ikut kemampuan dia.

"Dari segi perancangan keluarga dan anak pula saya tidak meletakkan harapan atau perancangan, kita hanya serahkan kepada Allah," katanya.

Dalam pada itu menerusi Oh My English! musim kedua ini, Zain tetap memegang peranan serupa iaitu sebagai cikgu Henry Meddleton.

Rancangan itu akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam bermula 31 Mac ini menerusi Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

Terdahulu media sebelum ini melaporkan Zain dan Rozita, telah membuat pengakuan terbuka mengenai hubungan mereka dan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.

Pasangan ini memberitahu akan mengadakan sidang media tentang perkahwinan mereka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.