Sunday, March 09, 2014

Tiada petunjuk MH370 selepas lebih 24 jam hilang

SEPANG: Sudah lebih 24 jam pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang, namun belum ada sebarang petunjuk mengenai pesawat itu.
    
Walaupun belum ada perkhabaran baik mengenai pesawat itu yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal, semua orang di seluruh dunia mengharapkan dan mendoakan keajaiban berlaku supaya kesemua mereka dapat ditemui dan pulang dengan selamat.

Eksekutif Perhubungan Media dan Strategik Komunikasi MAS Malini Saudranrajan meminta semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia mendoakan pesawat MH 370.

"Sudah lebih 24 jam sejak kali terakhir saya mendengar mengenai MH370 pada 1.30 pagi. Pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memutuskan  di mana pesawat Boeing 777-200 berada," katanya dalam kenyataan di sini, pada 2.02 pagi Ahad.

Beliau berkata misi mencari dan menyelamat antarabangsa dari Malaysia, Singapura dan Vietnam digerakkan pagi. - Bernama