Sejak akhir-akhir ini, filem yang menampilkan babak ranjang makin banyak dihasilkan. Biar apapun jenis filem, sama ada genre seram atau aksi, pasti diselitkan babak panas pelakonnya.
Terbaru, tersebar babak panas membabitkan pelakon Marsha Milan Londoh dan Wan Hanafi Su di laman internet yang menonjolkan babak ranjang mereka yang dipetik dari filem Laga. Apa perlunya babak seperti ini dipromosikan? Adakah produksi begitu terdesak sehingga sanggup ‘menjual’ babak ranjang untuk menarik perhatian penonton ke pawagam?
Menjawab pertanyaan itu, pengarah filem Laga, Ismail Yaacob berkata, penonjolan babak ranjang dalam filem itu bukanlah bertujuan mempopularkan karya berkenaan dengan cara mudah. Tetapi katanya, babak itu penting dan perlu diwujudkan untuk menguatkan jalan cerita.
“Mungkin ada pihak menganggap babak yang saya tonjolkan disengajakan untuk menjadi bahan tarikan. Tapi sebenarnya, ia adalah simbolik kepada kasih sayang suami isteri.
“Lagipun, ia bukanlah adegan seks keterlaluan kerana apa yang dipaparkan menunjukkan suami isteri sedang berurut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi filem Laga di Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Menurut Ismail yang pernah mengarah filem Lenjan, pada awalnya, babak antara Marsha dan Wan Hanafi itu mahu dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF). Tetapi selepas diberi penerangan jelas, lembaga itu meluluskannya.
“Selepas kami menulis laporan serta memberi penerangan mengapa babak itu perlu dikekalkan, barulah LPF benarkan babak itu ditayangkan. Bagaimanapun, kami perlu membuat sedikit kerja penyuntingan sebagai syarat.
“Tak banyak adegan disunting dan tidak menjejaskan perjalanan cerita,” katanya.
Filem yang menampilkan pelakon hebat seperti Eman Manan, Datuk Rosyam Nor, Syazwan Zulkifly dan Nasir Bilan Khan itu akan ditayangkan pada 23 Januari depan.
Mahu bikin sekuel
Belumpun ditayangkan, produksi ini sudah merangka untuk menyiapkan sekuel berjudul Laga 2. Ini berbeza dengan produksi lain yang hanya berani membuat sambungan selepas filem pertama mendapat sambutan.
“Keputusan untuk menghasilkan sekuel filem Laga ini dibuat penerbit yang cukup yakin Laga perlu ada sambungannya. Saya yakin bahawa filem ini berpotensi untuk mendapat sambutan hangat berdasarkan barisan pelakon serta mesej yang hendak disampaikan.
“Untuk Laga 2, penggambaran akan dilakukan di Jakarta. Selain mengekalkan pelakon sedia ada, kami juga akan menggunakan ramai pelakon dari Indonesia,” katanya.
Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu runut bunyi filem Laga iaitu Kayangan yang didendangkan kumpulan Hyper Act. Manakala juara Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar mendendangkan lagu Sembunyi Rahsia.
Tak anggap diri dieksploitasi
Ketika pertama kali melihat babak ranjangnya tersiar di internet, Marsha mengaku terkejut. Dia malu kerana tidak menyangka babak itu yang lebih ditonjolkan produksi berkenaan.
Namun, Marsha tidak mengambil serius perkara itu kerana ia hanyalah lakonan semata-mata.
“Cuma saya tak mahulah orang salah anggap filem ini sekadar menjual babak panas saja sedangkan ada banyak babak aksi lain yang menarik,” ujar pelakon berusia 27 tahun ini.
Ditanya apakah babak itu sengaja diadakan berikutan imej seksi yang sering ditampilkannya, Marsha tidak melihat perkara itu sedemikian.
“Saya tak anggap diri saya sebagai bahan eksploitasi. Babak itupun tidaklah sepanas mana. Mungkin gerak kerja yang kreatif dan hasil suntingan membuatkan babak itu nampak hidup,” terang Marsha sambil mengharapkan khalayak faham situasi sebenar dan tidak terus menjadikannya isu sensasi.BH