Sejak bulan Mac yang lalu, tiada siapa yang tahu tentang status sebenar pesawat MAS MH370. Malah sehingga ke hari ini, pihak berkuasa juga masih berusaha untuk merungkai misteri di sebalik kehilangan itu.
Biarpun ada antara masyarakat yang semakin lupa dengan kejadian ini, namun hakikatnya ahli keluarga penumpang dan kru pesawat masih rasa terpukul dengan apa yang berlaku.
Tambah memeritkan lagi apabila sebuah syarikat produksi dari India telah menghasilkan filem berjudul The Vanishing Act yang menceritakan tentang kisah MH370 dari sudut pandangan mereka.
Menerusi trailer filem berkenaan, dapat dilihat dengan jelas pengarahnya, Rupesh Paul menggunakan imej kapal terbang Malaysia Airlines tetapi pakaian seragam yang dipakai oleh kru sama sekali berbeza.
Namun apa yang menimbulkan kemarahan banyak pihak ialah filem berkenaan turut menyelitkan babak bercumbu dan hubungan skandal antara kru penerbangan yang disifatkan agak sensitif untuk penerimaan keluarga terdekat.
Selain daripada itu, adegan seseorang memegang pistol juga seolah-olah menguatkan dakwaan kapal terbang berkenaan dirampas oleh pengganas sedangkan sebelum ini kerajaan telah menafikan berlakunya jenayah tersebut.
Anak kepada ketua pramugara MH370, Maira Elizabeth Nari turut meluahkan rasa kecewanya di laman Twitter semalam dan menggesa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Malah, Paul juga menerima kritikan hebat di laman YouTube selepas dia memuat naik teaser filem berkenaan pada 17 Mei 2014.
Bagaimanapun pengarah bersama filem berkenaan, Sritama Dutta menegaskan filem tersebut hanya menjadikan kehilangan MH370 sebagai tunjang utama namun selebihnya hanyalah mengikut kreativiti minda dan rekaan semata-mata.
Difahamkan, The Vanishing Act yang menelan belanja sebanyak US$3.5 juta itu difilemkan berdasarkan kepada teori seorang wartawan Malaysia yang namanya tidak didedahkan.
Setakat ini masih tiada bukti sahih mengenai apa sebenarnya terjadi terhadap pesawat MH370 dan dari apa yang dapat diperhatikan, The Vanishing Act dibuat berdasarkan kepada beberapa spekulasi yang bertebaran.
Khabarnya filem ini akan ditayangkan serentak di seluruh negara menjelang September nanti. Tapi, sebelum itu jom tonton trailer di bawah ini. Apa pula pendapat anda?