Pada 17 Julai 1991, Sudirman Hj. Arshad telah dibawa ke Pusat Perubatan Tawakal Kuala Lumpur selama empat hari selepas jatuh pengsan ketika membuat persembahan di Butterworth, Pulau Pinang. Dia menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992, jam 4 petang ketika berusia 37 tahun di rumah kakaknya, Datin Rudiah selepas tujuh bulan menghidap pneumonia.
Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh berdekatan dengan kubur kedua ibu bapanya.
20 tahun sejak pemergiannya, kami ingin menyenaraikan sepuluh perkara tentang Allahyarham yang menjadikan beliau insan yang cukup bernilai untuk diingati.
1. Sudirman Hj. Arshad telah dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik. Selepas menolak biasiswa pengajian perubatan, beliau telah mengambil ijazah sarjana muda dari Universiti Malaya dalam bidang undang-undang. Beliau sudah pun praktis sebagai peguam sebelum membuat keputusan menjadi seorang penghibur.
2. Beliau merupakan yang pertama dalam banyak perkara. Sudirman merupakan penyanyi Malaysia pertama yang membuat persembahan di The Paddock, Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada 1983. Beliau adalah duta nyanyian pertama bagi Proton, Malaysia Airlines dan Honda Cup. Beliau menjadi ahli kehormat kad pioneer Bank Hong Leong dan beliau juga artis Malaysia pertama yang menjadi muka depan majalah "Malaysian Business" dan "Asian Business".
Sedutan filem "Kami".
3. Selain menyanyi, Sudirman juga berlakon dalam sebuah filem sahaja yang berjudul "Kami" pada tahun 1982. Sudirman turut menghasilkan runut bunyi bagi filem berkisar tentang dua anak yatim di jalanan Kuala Lumpur ini dan diberi judul "Pelangi Petang". Lagu tersebut diangkat sebagai sebuah lagu ikon dalam industri muzik Malaysia.
4. Sudirman akan melakukan apa saja buat orang yang disayanginya. Beliau telah menerbitkan album buat anak saudara kesayangannya, Razman Azrai (Atai) di bawah Sudirman Productions pada tahun 1985. Pada bulan April 1983, Sudirman juga telah menyanyikan sebuah lagu bertajuk "Mama" buat Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Sebelum pemergiannya, Saloma menyatakan rasa terharunya atas kesudian Sudirman menciptakan lagu buatnya.
5. Pada 15 April 1986, Sudirman telah menjadi artis pertama yang mengadakan konsert terbuka di Jalan Chow Kit dan menarik seramai lebih 100,000 peminat. Konsert tersebut telah menyebabkan kesesakan jalan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda ke Jalan Raja Alang. Beberapa orang peminat pitam, ada yang sesak nafas dan terpaksa digegaskan ke hospital. Namun ia menjadi konsert paling bersejarah di Malaysia.
Orang ramai membanjiri konsert terbuka Sudirman di
Jalan Chow Kit pada tahun 1986.
6. Sudirman telah memenangi gelaran 'Penghibur Terbaik' pada Anugerah Muzik Asia 1989 yang diadakan di Royal Albert Hall, London. Beliau telah menewaskan pesaing hebat seperti Leslie Cheung (Hong Kong), Anita Sarawak (Singapura), Epo (Jepun), Kuh Ledesma (Filipina) dan ramai lagi.
Sudirman bukan sahaja aktif dalam nyanyian, tetapi pandai menulis.
7. Selain menyanyi dan berlakon, Sudirman juga mempunyai bakat menulis dan melukis. Beliau telah menulis autobiografinya, "Dari Dalam Sudir" selain melukis beberapa kartun dan penulisan kolum dalam beberapa majalah dan akhbar seperti Karangkraf. Beliau juga seorang wartawan dan kolumnis yang hebat dan antara ahli politik yang pernah beliau temuramah adalah Tun Ghaffar Baba.
Sudirman bersama air karbonat Sudi menjadi muka hadapan
majalah Mastika edisi April 1991.
8. Sudirman adalah penyanyi pertama Malaysia yang berjaya mempromosi air karbonat popular Sudi bersama majalah perniagaan dan program televisyen dari Australia hinggalah ke Hong Kong. Dalam masa enam bulan, Sudi berjaya menembusi pasaran air karbonat sehingga lima peratus. Kemudiannya dia telah membuka kedai pakaian francais Sudi Shoppe dan restoran Sudi.
Sudirman (empat dari kiri) bersama pesaingnya di Anugerah Muzik Asia 1989.
10. Sudirman telah dinamakan sebagai 'Duta Nyanyian Malaysia' oleh Kementerian Pelancongan Malaysia (MTDC). Dia juga adalah suara di sebalik lagu MTDC, "To Know Malaysia Is To Love Malaysia" yang direka oleh penyanyi, penulis lagu dan calon Anugerah Grammy, Emmy dan Oscar, Carol Connors. Dia juga turut dilabel sebagai 'Dinamit Nyanyian' oleh wartawan Singapura. Nyanyiannya turut mendapat tepukan gemuruh dan penghormatan di Australia, Jepun, Kuwait dan juga Amerika Syarikat. Pengurus kepada kumpulan penyanyi George Michael, Wham!, Simon Napier-Bell pernah mengatakan bahawa Sudirman adalah 'institusi kepada industri muzik Malaysia'. Dia juga turut dikenali sebagai 'Peguam Yang Menyanyi', 'Penyanyi Orang Ramai' dan juga 'Elvis Malaysia'.