Saya berumur awal 30-an dan masih belum berkahwin kerana saya sudah serik kecewa dengan lelaki sebelum ini. Kini saya sedang bercinta dengan seorang lelaki yang sepejabat dengan saya berumur lewat 30an. Dia sudah berumahtangga serta memiliki 2 orang anak.
Pada awal perkenalan saya tidak tahu dia sudah beristeri kerana kami bekerja di bahagian yang berlainan dan kami jatuh cinta bila kerap berjumpa waktu makan tengahari di kantin pejabat.
Ramai juga kawan-kawan menghalang hubungan kami tapi dia yang saya kenali lain dari yang lain. Dia suka berterus-terang dan jujur membuatkan saya lebih sayang dan susah untuk melupakannya. Hampir genap setahun hubungan kami dan ibu bapa di kampung sibuk bertanyakan tentang jodoh saya.
Memang hasrat ingin berkahwin itu ada dan dia pernah meminta izin dari isterinya bulan lepas tetapi dibantah sekerasnya dan isterinya pernah cakap tiada sebab untuk dia berkahwin lain. Isterinya beberapa kali menelefon saya di pejabat mendesak supaya melupakan suaminya dan mencari lelaki lain serta pernah juga datang memaki hamun saya di pejabat tetapi apakan daya saya sebab hati saya sangat sayang pada dia dan saya tahu susah saya nak jumpa lelaki sebaiknya selepas ini.
Tambahan pula saya pernah 3 kali terlanjur dengannya. Itu pun mungkin salah saya kerana mengajak dia bermalam di rumah untuk membantu saya mengecat rumah. Semakin cuba saya lupakan semakin terseksa saya jadinya jadi kami sentiasa tangguh untuk berkahwin dan bercinta seperti biasa memandangkan masih tiada persetujuan dari isterinya.
Apa yang perlu saya lakukan?