Wednesday, October 03, 2012

IZARA AISHAH AKUI SUDAH BERPUNYA...???



PELAKON yang mula popular dengan drama bersiri "Vanilla Coklat", Izara Aishah tidak kisah sekiranya popularitinya jatuh apabila mengaku hatinya kini sudah dimiliki.

Gadis berusia 20 tahun ini walaubagaimanapun enggan mendedahkan identiti jejaka yang yang berjaya menawan hatinya itu.

"Saya tiada masalah untuk memberitahu peminat bahawa kini saya sudah mempunyai kekasih."

"Mungkin orang salah anggap jika ada yang mengatakan saya sengaja menyorok perkara ini dari pengetahuan umum dan sebagainya sedangkan saya telah menjelaskan status sebenar pada awal kemunculan saya di dalam industri ini lagi."

Izara Aishah atau nama sebenar Izara Aishah Hisham memberitahu tujuan dia menjelaskan status sebenar adalah kerana tidak mahu berahsia dari semua pihak terutamanya media.

"Saya memang jenis tidak suka simpan perkara yang saya anggap serius daripada pengetahuan orang lain. Saya tidak mahu tiba – tiba keluar cerita saya keluar dengan lelaki lain jika saya mengaku masih solo sedangkan ketika ini saya sudah berpunya."

"Si dia memang ada mengatakan tidak mahu saya memberitahu mengenai hubungan kami tapi saya mahu bersikap berterus – terang. Lagipun saya sudah mengenali dia dari zaman kecil lagi."

Dalam perkembangan lain, Izara kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk filem keduanya selepas "KL Zombie" iaitu "Balun" dibawah arahan Bob Singah.

Izara memberitahu bahawa dia sangat gembira dapat bekerja di bawah arahan Bob Singah dan berkata Bob adalah pengarah paling baik pernah ditemuinya.

Filem "Balun" merupakan filem aksi yang mempertaruhkan elemen seni mempertahankan diri silat dimana Izara memegang watak sebagai Nurul Ain yang mempunyai kelebihan seni mempertahankan diri dari bapanya.

Turut membintangi filem ini adalah Beto Kusyairy, Reen Rahim dan juga Aziz Singah.
Filem ini dijangka bakal menemui penonton pada pertengahan tahun 2013.