Wednesday, April 23, 2014

[ARTIS] Dato’ Sheila Majid Tawar RM10,000


Sejak kebelakangan ini, semakin banyak pula pertandingan menyanyi diperkenalkan baik menerusi program realiti ataupun secara ujibakat.

Mungkin bagi sesetengah orang, pencarian bakat seperti ini dilihat sudah tidak relevan namun tidak dapat dinafikan bahawa peminat semakin mendambakan variasi suara yang unik daripada penyanyi-penyanyi baru saban hari.

Oleh itu, produk penjagaan sakit tekak, Strepsils kini tampil menganjurkan kempen The Right Note bagi mencari bakat-bakat baru yang mempunyai vokal mantap untuk dikongsikan dengan dunia.

Pencarian vokal terbaik ini bakal diketuai oleh Ratu Jazz negara, Dato’ Sheila Majid yang juga menggalas tanggungjawab sebagai juri bersama orang awam.

Ditanya mengenai kriteria utama yang bakal mencuri hati juri, Sheila menjawab pihaknya lebih tertarik dengan kekuatan vokal berbanding penampilan dan imej seseorang.



Vokal lebih penting. Sukar untuk menentukan kriteria apa yang kami cari tapi apa yang penting, jika seseorang itu boleh menyanyi dengan baik dan mempunyai jiwa sewaktu menyampaikan lagu tersebut, itu lebih baik. Penampilan luaran dan kecantikan itu cuma bonus.

Bagi yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, peserta perlu merakam dan memuat naik penyertaan mereka ke www.strepsils.com.my/therightnote antara 15 April hingga 28 Mei 2014.

Lima finalis terbaik akan dipilih untuk bertanding merebut gelaran juara pada pusingan akhir sekaligus memenangi hadiah utama bernilai RM10,000.