Kapal selam kelas Trafalgar Britain, HMS Tireless, tiba di selatan Lautan Hindi ketika misi mencari pesawat Malaysia yang hilang di kawasan itu masuk hari ke-26 hari ini.
Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia, dalam kenyataan dikeluarkan berkata, Setiausaha Negara bagi Pertahanan UK Philip Hammond memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi telefon semalam.
“Dengan keupayaan melakukan pencarian di dalam air, kapal selam HMS Tireless akan dapat membantu dalam usaha untuk mengesan lokasi pesawat hilang itu.
“UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kehilangan pesawat itu dan memberikan pelbagai bantuan,” menurut kenyataan itu.
Kapal peninjau hidrografik pelbagai fungsi, HMS Echo, dijadual tiba di selatan Lautan Hindi untuk membantu misi pencarian itu, katanya.
“Selain membantu usaha mencari transponder pada kotak hitam, HMS Echo akan memainkan peranan penting dalam pencarian serpihan di permukaan air.
“Kecanggihan dan keupayaannya dalam menilai keadaan persekitaran juga akan membantu pihak berkuasa pencarian untuk mengoptimumkan operasi pencarian,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan UK juga membantu dengan meminjamkan pakar untuk memberikan bantuan teknikal dan keupayaan kepakaran dari Kementerian Pertahanan, Pejabat Hidrografik, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk membantu mengesan pesawat itu, katanya.
Empat anggota Tentera Udara Diraja yang dipinjamkan ke Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja juga terlibat secara aktif dalam operasi pencarian maritim, menurut kenyataan itu – Sinar Harian