Mengakui kadang-kala agak tertekan dengan sikap Ramli MS yang terus berdiam diri, Alyah ketika ditemubual Berita Harian berharap agar semua pihak dapat memahami situasinya kini.
Yelahkan. Alyah kan di pihak perempuan. Takkan nak cakap lebih-lebih daripada pihak lelaki pula kan?. Nah, jom ikuti luahan hati Alyah lagi di bawah.
Ramli MS terus kunci mulut
“Yang difokus selalunya pada pihak saya dan orang tak berani tanya pihak lagi satu. Nampak macam saya yang terhegeh-hegeh pula. Di mana saya nak letak maruah saya sebagai seorang wanita.
Saya agak tergugat dengan hal ini. Cuma saya tak pernah putus memanjangkan doa supaya isu tergantung ini akan berakhir dengan penjelasan nyata. Ia jadi susah apabila satu pihak lagi okay dan satu lagi sebaliknya. Jadi di pihak saya, nak cakap pun susah.
Jadi apa yang selalu keluar di media sosial mahupun cetak, atau yang sering dikomen orang tempiasnya tetap pada saya. Ada yang cakap kenapa perlu berkawan dengan dia, tapi tak berani nak mengaku.
Bayangkan apa yang saya tanggung dan lalui ini. Dalam hati sering tertanya-tanya, dugaan apakah ini? Saya sendiri pernah terdetik, susahnya nak cari kebahagiaan sebagai seorang wanita.”
Alyah bagaimanapun tidak sesekali menyalahkan takdir dan menerima apa sahaja tohmahan daripada orang ramai mengenai kontroversinya dengan Ramli MS.
“Terpulang jika ada yang anggap saya sudah kahwin. Selama ini pun, saya tidak pernah mengaku atau menafikan persoalan yang sentiasa berlegar dalam fikiran ramai. Ramai yang mengharapkan jawapan pasti, tetapi itu tidak bermakna saya cuba lari daripada kenyataan hidup.
Saya memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu nanti pada kemudian hari ia jadi bertambah buruk. Selama saya memulakan kerjaya, sudah terlalu banyak perkara buruk yang dilalui.
Saya mengambil masa yang lama untuk menyerlah dan berada pada kedudukan sekarang. Jadi, banyak benda yang saya belajar sekali gus berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.”