Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki bakal bekerjasama dengan pengarah Hollywood, Roger Christian dalam sebuah projek filem yang mengisahkan tragedi Kawat Maut Sandakan ketika Perang Dunia Kedua.
Dipetik daripada laporan The Star, filem ini turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Menurut Pengurus Finas, Datuk Affendi Hamdan, projek filem itu telah menerima bantuan dana RM1 juta dari kerajaan dan juga RM2 juta dari koperasi sendiri. Baki selebihnya akan diterima daripada dana tempatan.
Aktor yang popular dengan watak Wolverine dalam siri filem "X-Men", Hugh Jackman, telah ditawarkan membintangi filem tersebut yang dijangka siap dalam tempoh setahun.
Filem ini dijangka mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Cannes pada tahun 2016.
Tragedi Kawat Maut Sandakan telah menyebabkan kematian 6,000 orang hamba kerahan Indonesia serta tahanan perang Australia dan British. Mereka telah dikerah berjalan dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Ramai yang maut ketika dalam perjalanan akibat kebuluran, keletihan dan penyakit.
Bagi mendapatkan informasi tentang tragedi ini, Christian telah menghabiskan masa kira-kira tiga bulan di Sabah.