Sunday, November 16, 2014

Emma Maembong 'serang' pereka fesyen di Facebook





SHAH ALAM: Pelakon Emma Maembong bertindak memuatnaik status mempertahankan adiknya Chacha Maembong di laman sosial Facebooknya, selepas 'diserang' seorang pereka feysen baru-baru ini.

Emma berkata pihaknya sudah pun meminta maaf dan menerangkan kepada pereka fesyen terbabit mengapa adiknya tidak dapat memakai baju rekaannya pada malam Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada Jumaat lalu.

Namun, pereka fesyen itu tetap memilih untuk memperbesarkan isu itu yang mengaibkan Chacha, ujar Emma.

Pereka fesyen yang dimaksudkan adalah Ezuwan Ismail.



"Selama ini saya diam sebab saya hormat dengan pereka itu dan nak jaga nama dia. Sebab itu saya malas masuk campur. Tapi bila asyik nak tuduh adik saya sahaja salah, (itu) melampau, takkan salah sendiri tak nampak?

"Saya ada dengan Chacha sewaktu dia nak pakai baju pereka itu. Dan ukuran badan pada baju tersebut lari (tidak tepat). Ada gelembung di belakang dan ukuran di ketiak pun lari (tidak tepat). Masa 'fitting' Chacha ada beritahu bahu senget, tapi dia (pereka) cakap 'awak jangan tengok sekarnag, belum siap lagi'. Jadi Chacha tak sangka waktu hari majlis akan dapat baju begitu juga sebab dia (pereka) sudah ambil pin cucuk dimana kena betulkan.

"Bila dapat baju dua-dua belah tangan tak sama. Pelik juga baju artis lain dia buat kemas. Jangan disebabkan adik saya artis baru awak boleh buat sesuka hati. Majlis nak mula dalam masa setengah jam, kelam-kabut dengan baju tak muat, jadi Chacha terpaksa pinjam baju pereka lain," ulas Emma panjang lebar.


Ezuwan beberapa hari lalu meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan Chacha dan menuntut pelakon itu memulangkan semula baju yang tidak dipakainya itu.

Beliau mendakwa baju bewarna merah jambu itu masih berada di dalam simpanan Chacha sejak diambil sehari sebelum majlis tersebut berlangsung.

Ezuwan turut menyifatkan keengganan Chacha menggayakan rekaannya sebagai satu penghinaan, lebih-lebih lagi apabila Chacha tidak menghubunginya untuk menyelesaikan hal itu atau meminta maaf secara peribadi.

Mengulas hal itu, Emma mendakwa sudah meminta maaf kepada Ezuwan sebaik sahaja majlis anugerah itu selesai dan mahu menyelesaikannya secara tertutup namun bertambah berang apabila pereka itu meluahkan rasa kurang senangnya secara terbuka.

"Lepas habis majlis, saya sendiri ada Whatsapp Ezuwan minta maaf dan berikan penjelasan sebenar kenapa baju beliau tidak dapat dipakai. Tetapi dia tidak boleh terima hakikat. Ingat sudah selesai tapi beliau masih nak besarkan cerita. Jika baju itu tidak sempat dipakai pada majlis itu, majlis lain masih boleh pakai. Kadang-kadang hal ini ada juga terjadi kepada Emma dan kebiasannya pereka akan faham dan profesional.

"Tetapi ini macam keterlaluan sangat. Jangan nak cakap waktu taja okay sahaja. Tetapi kalau dah salah pereka, ukuran tak sama dan tak dapat seperti yang dijanjikan, kita tidak boleh bersuara? Perlu adillah, pereka buat baju untuk kita promosikan, sama-sama untung. Chacha sudah minta maaf secara terbuka tentang isu ini, awak nak dia buat apa lagi?," soalnya di Facebook lagi.



Pada malam anugerah itu, Chacha memperagakan baju ganti rekaan Fazil daripada butik Diandra Couture.