Melihat biseps Moustafa Ismail, 25, yang sungguh besar itu pasti membuatkan sesiapa sahaja teringatkan watak kartun kegemaran ramai, Popeye.
Namun, tidak seperti Popeye, Moustafa cukup benci dengan sayur bayam. Biseps gergasinya itu juga bukan kerana makan bayam tetapi hasil diet protein dan karbohidrat yang tinggi.
Setiap hari, ahli bina badan dari Massachusetts ini mengambil kira-kira tujuh paun protein, sembilan paun karbohidrat dan tiga gelen air bagi memastikan bisepsnya kekal berukuran 31 inci - sebesar pinggang lelaki kurus.
Dia yang mampu mengangkat berat sehingga 600 paun menempa nama di dalam Guinness Book of World Records sebagai lengan terbesar di dunia tahun lalu.
Moustafa mula obses membina badan terutama bahagian lengannya selepas dipersenda oleh seorang tetamu di majlis perkahwinan bapa saudaranya di kampungnya di Mesir kerana berat badan yang berlebihan.
Sejak itu, dia nekad melakukan senaman setiap hari dari pukul 5 pagi hingga 8 pagi yang tertumpu kepada kardio dan latihan kekuatan dengan mengangkat berat.
Selain itu, dia mengambil sejumlah besar ayam, makanan laut dan minuman protein setiap hari selain vitamin. Moustafa mula membina badan di kampung halamannya di Mesir sebelum berpidah ke Amerika Syarikat pada 2007.
Bagi membayar yuran keahlian gim serta keperluan dietnya, dia bekerja sebagai atendan di dua buah stesen minyak.
Namun, kontroversi pernah melandanya apabila dia dituduh mengambil steroid atau melakukan implan bagi mendapatkan lengan Popeye tersebut.
Dia kemudian terbang ke Tokyo, Jepun bagi menjalani ujian darah dan sinaran-X pada ototnya dan terbukti tiada yang abnormal pada dirinya.
Selepas tidak lagi dipersenda, Moustafa bagaimanapun menghadapi cabaran lain iaitu mencari baju sesuai kerana bahagian lengannya yang luar biasa besarnya.