Monday, May 05, 2014

‘Lambakan kuil, gereja, tokong pamer Malaysia bukan lagi negara ISLAM’ – Ridhuan Tee

Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini mempersoalkan pertambahan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, tokong dan gereja yang memperlihatkan Malaysia tidak lagi mencerminkan ciri sebuah negara Islam.

Pensyarah kontroversi itu berkata bilangan rumah ibadat berkenaan melebihi bilangan surau dan masjid, malah pada hari ini juga bahasa Melayu sudah hilang kedaulatannya.


“Rumah ibadat di negara ini sudah tidak nampak macam negara Islam tetapi sudah jadi negara bukan Islam dengan lambakan kuil, tokong dan gereja yang melebihi berbanding surau dan masjid.

“Bahasa Melayu tidak lagi berdaulat. Bahasa asing lebih mengakar terutama bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) langsung tidak mempraktikkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan,” katanya menerusi artikel yang disiarkan Sinar Harian.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut menyelar beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tetapi mendedahkan keburukan Malaysia.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang baik, sebab itulah golongan berkenaan terus mencemuh sistem dan keadaan di negara ini.

“Kita lihat NGO bukan Islam begitu ghairah bertanya soalan kepada Obama. Soalan dan pandangan mereka tidak sedikit pun memuji negara yang didiaminya, sanak-saudara dan tempatnya mencari makan secara senang-lenang.

“Pada saya mudah sahaja, jika di sini, bukan lagi syurga untuk dijadikan tempat tinggal, carilah tempat lain yang boleh menjanjikan syurga itu. Kenapa mereka tidak berbuat demikian?

“Jawapannya mudah. Di sini sudah ada syurga. Kenapa mereka masih meminta dan mendesak? Mereka mahukan syurga yang lebih indah. Kita yang masih tidak nampak,” katanya.

Minggu lalu, Obama mengadakan pertemuan selama sejam bersama 10 kumpulan masyarakat yang membawa isu hak asasi manusia dan pertuduhan politik terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata antara isu yang dibangkitkan kepada Obama adalah polarisasi kaum dan agama, perpecahan politik dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pilihan raya bebas dan adil serta kawalan media oleh kerajaan.

Ridhuan turut mengkritik pihak yang mempersoalkan calon temuduga biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditanya tentang Islam.

Katanya, apa yang dilakukan penemuduga tidak salah, apatah lagi isu pendebatan kalimah Allah sedang hangat diperkatakan.

“Apa salahnya jika temu duga turut bertanya soalan pasal Islam? Dapat jawab, itu dikira kredit. Tidak dapat jawab, tiada masalah. Bukan bermakna pelajar yang tidak dapat menjawab diketepikan.

“Saya tidak kata tindakan penemuduga itu betul, tetapi serangan mereka amat keterlaluan. Kadangkala dalam temuduga, kita juga ditanya mengenai perbandingan agama yang berkaitan dengan agama lain. Pelajar Melayu tidak pernah bising pun,” katanya.

Minggu lalu, Timbalan Pengarah Mara Negeri Sarawak, Mariam Mohtar memberitahu The Malaysian Insider pegawai dari ibu pejabat di Kuala Lumpur yang menjalankan temuduga biasiswa berkenaan sedang disiasat.

Katanya, pelajar bukan Islam yang menghadiri temuduga biasiswa, tidak perlu disoal mengenai Islam ekoran dakwaan ketaksuban agama.

Mariam berkata demikian kepada Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing (gambar) yang sebelum ini menyifatkan Mara sebagai “bodoh” kerana menyoal pelajar bukan Islam berkenaan Islam semasa temuduga mereka untuk bantuan kewangan. – 5 Mei, 2014.sumber