Thursday, June 26, 2014

Dipukau Ketika Rawatan, Dua Beradik 'DiJamah' Oleh Bomoh


Rahsia perbuatan keji seorang bomoh yang dipercayai merogol dua beradik di Felda Pasoh di Jempol akhirnya terbongkar setelah mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis pada 2 Disember lalu.

Kejadian yang dipendam mangsa selama dua tahun itu dipercayai berlaku ketika mereka mendapatkan rawatan daripada bomoh itu di lokasi berbeza sekitar Felda Pasoh.

Sumber berkata, mangsa yang kini berumur 18 dan 16 tahun bagaimanapun mendakwa bagaikan dipukau oleh bomoh licik itu sebelum menyedari kejadian itu pada 2011.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 2010 dalam bilik di rumah mangsa yang sebelum itu bomoh berkenaan dipercayai baru selesai merawat kakak mangsa.

“Bagaimanapun perbuatan bomoh itu dilakukan secara berulang dan berlarutan sehingga 2011 tanpa disedari ibu mangsa.

“Ibu mangsa, 55, menyangka mangsa hanya mendapatkan rawatan dalam bilik susulan bomoh itu sememangnya dikenalinya.

“Dua beradik ini kemudian nekad membuat laporan polis pada 2 Disember lalu di Balai Polis Simpang Pertang, Jelebu,” katanya.

Manakala suspek berumur 38 tahun ditahan reman pada keesokan harinya di Simpang Pertang dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam perkembangan berlainan, seorang penganggur ditahan reman tujuh hari bermula semalam dipercayai mendera anak saudaranya berumur empat tahun di kediamannya di Felda Lui Selatan.

Sumber berkata, ibu mangsa yang kini dalam proses penceraian dengan adik suspek dikatakan terpaksa meninggalkan mangsa di bawah jagaan keluarga mentua akibat masalah kewangan.

Kejadian itu disedari ibu mangsa, 23, merupakan adik ipar suspek, 32 , apabila ingin membawa anaknya pulang ke Felda Pasoh pada 30 November lalu.

“Ibu mangsa mendapati pipi sebelah kiri anaknya luka dan lebam namun hanya menyangka anaknya itu jatuh. Akibat rasa tidak puas hati, ibu mangsa bertindak bertanya kepada mangsa lalu mangsa memberitahu dia dipukul oleh bapa saudaranya,” katanya.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Lui, kira-kira jam 1.45 petang pada 4 Disember lalu.

Suspek ditahan reman bermula semalam sehingga 7 Disember ini bagi membantu siasatan kes Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Ketua polis daerah, Superitenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes rogol remaja dan dera kanak-kanak berkenaan. – Informasi Dot My