Tuesday, June 17, 2014

Malaysia Bukan Negara Islam! – D




** Apa agakanya komen PAS? Menurut sahaja kata-kata DAP?

KUALA LUMPUR – DAP menggesa masyarakat Malaysia memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan supaya mengakui bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mendakwa, kerajaan Persekutuan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara itu.

“Paling teruk rakyat Sabah dan Sarawak berasa dikhianati kerana mereka tidak meminta menyertai Malaysia jika ia adalah sebuah negara Islam.

“Kini masa untuk semua memberi tekanan kepada BN supaya kembali ke pangkal jalan dan menghormati semangat kemerdekaan dan Perlembagaan Malaysia bahawa ini bukan negara Islam,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, terdapat ulama berpandangan tidak praktikal Malaysia dianggap sebagai negara Islam sedangkan terdapat kasino dan sistem faedah dalam aspek kewangan.

Justeru, beliau mencabar pemimpin MCA dan Gerakan tidak menerima jawatan Kabinet selagi BN tidak menarik balik kenyataan Malaysi bukan negara sekular tetapi negara Islam.

Media pada 16 Jun lalu melaporkan Malaysia bukan merupakan sebuah negara sekular berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetikberkata, perkara itu diperkukuhkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.

Beliau berkata, kedudukan ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.


Malah, kata Jamil Khir, dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, di mana sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.