Wednesday, November 19, 2014

Cantik difitnah, buruk dikeji! - Jihan Muse




DAHULU tatkala menyertai program realiti Raja Lawak musim ketiga yang dijuarai kumpulan Sepah, Jihan Muse, 30, rupa parasnya tidaklah menawan seperti yang dilihat hari ini.

Ketika itu, Jihan boleh dikatakan selekeh dan tidak bijak dalam pemilihan fesyen untuk digayakan, sama ada ke acara sidang akhbar, mahupun ke majlis anugerah yang dianjurkan di persada seni tempatan.
Namun, setelah hampir lima tahun berkecimpung dalam industri, banyak perubahan yang berlaku terhadap diri wanita berkenaan yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penguat kuasa tempatan.
Paling ketara, penampilan mekapnya yang makin menampakkan sisi matangnya dalam bergaya, juga semakin arif dalam memilih busana yang sesuai untuk dipakai ke acara hiburan tanah air.

Berkesempatan berjumpa dengannya pada sidang akhbar program realiti Gegar Vaganza yang diterbitkan Astro baru-baru ini, Jihan kelihatan anggun dalam blaus polos warna jingga, disertakan solekan ringkas yang padan dengan perwatakannya.
Membangkitkan perihal perubahan yang dilaluinya, terdahulu Jihan pernah menafikan bahawa dia melakukan rawatan kecantikan, sebaliknya hanya menggunakan produk pencuci muka yangberharga RM20.
Akui Jihan, betapa sukarnya hidup menjadi figura awam, segalanya diperhatikan atas, bawah, luar dan dalam.

Lebih menyedihkan, menurutnya, jika ada perubahan positif dalam diri seseorang selebriti, pasti tanggapan negatif yang akan dilemparkan terlebih dahulu.
“Sedih kan jadi artis? Perubahan yang baik sukar untuk diterima secara drastik oleh sesetengah pihak. Mesti fitnah yang ditabur dahulu bagi ‘meraikan’ perubahan tersebut.

“Apalah salahnya tanya dahulu ataupun soal selidik lebih awal daripada empunya diri sebelum membuat kesimpulan tersendiri yang langsung tidak berasas. Bila masanya pula saya buat pembedahan di wajah? Saya masih sedar diri dan tidak sesekali melakukan perkara yang membazirkan wang ringgit itu,” katanya ketika itu bagi menjawab tohmahan yang digembar-gemburkan.
Tambah Jihan, penampilannya yang dikatakan semakin cantik hanyalah disebabkan kesedaran dirinya yang mula berjinak-jinak dengan produk kecantikan.

“Saya dah lima tahun dalam industri ini. Jadi, pengalaman berkenalan dengan ramai jurumekap membuatkan saya sedar pentingnya menjaga penampilan. Saya mula gunakan pencuci muka sebelum dan selepas bangun daripada tidur untuk mengekalkan kesegaran wajah.

“Saya turut belajar mekap supaya tidak kelihatan begitu selekeh. Walaupun saya seorang yang berimej ringkas, tetapi kekemasan dalam bergaya perlu diamalkan. Itu adalah petua yang pernah diberitahu kepada saya sebelum ini dan menjadi amalan pada hari ini,” katanya.

Dalam kepadatan jadual seninya dengan pelbagai aktiviti pengacaraan dan lakonan, Jihan yang diketahui umum sedang menjalin kasih bersama seorang pelakon baharu, Ku Hariz mengakui cuba untuk membahagikan masa agar dapat memberikan perhatian terhadap hubungan yang dibina sekian lama.
Lebih lima tahun memadu kasih, Jihan sedar sejak kebelakangan ini dia semakin sibuk dengan kerjayanya dan disebabkan itu, timbul gosip yang mengatakan dia semakin menjauhi Ku Hariz.
Menafikan perkara tersebut, Jihan berkata hubungannya dengan pelakon kelahiran program realiti Pilih Kasih musim kedua itu tetap utuh walaupun jarang berjumpa.

“Ya memang dua tiga tahun kebelakangan ini saya agak sibuk dan hubungan kami banyak bersandarkan teknologi maya semata-mata. Tetapi itu tidak menggoyahkan rasa cinta kami, sebaliknya makin kuat.

“Dia pandai memainkan peranannya sebagai seorang lelaki, begitu juga saya. Kami saling mengingati satu sama lain andai dirasakan ada yang tidak kena. Alhamdulillah, perhubungan kami telah memasuki satu fasa yang serius dan akan mengakhirinya dengan satu ikatan sah. Cuma masanya belum dapat dipastikan dan tidak mahu memikirkan dahulu buat masa sekarang,” katanya mengulas mengenai jalinan cintanya dengan aktor itu.

Tidak mahu terus berbicara mengenai isu yang dianggap muak dan bosan itu, Jihan yang kini antara pelakon dan pelawak popular tanah air tekad untuk meletakkan artis komedi wanita setaraf dengan golongan Adam yang sebelum ini memonopoli bidang tersebut.

Mengakui artis komedi lelaki mempunyai kedudukannya yang tersendiri dalam industri ini berbanding wanita, Jihan berpendirian bahawa jurang tersebut mampu untuk dirapatkan agar suatu hari nanti ia boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah antara kedua-dua gender itu.

Bukan bermaksud mahu mencabar kredibiliti pelawak lelaki yang tidak terbatas dengan had tatasusila, Jihan menyifatkan bahawa kesaksamaan yang diinginkannya adalah dari konteks peluang dan platform yang lebih cenderung diberikan kepada kaum Adam.

“Saya akui, sebagai seorang wanita Timur dan Islam, ada batas-batas tertentu yang membuatkan kami tidak boleh beraksi seperti lelaki sama ada menerusi percakapan mahupun gerak geri.

“Itu saya akur dan tidak berniat untuk melawan hakiki. Cuma wanita juga mempunyai kaedah tersendiri untuk meletakkan tahap komedi kami sama seperti lelaki, walaupun berbeza cara penyampaian. Paling penting, bahan lawak itu sendiri yang bersifat semasa serta punchline yang diguna pakai harus tepat untuk menggeletek audiens,” ujar Jihan melontarkan pendapatnya demi memartabatkan pencapaian pelawak Hawa.