Saturday, November 22, 2014

Shah Rukh Khan Antara Yang Layak Penerima Zakat Dari Lembaga Tabung Haji

Port Dickson: Seorang pelajar yang namanya sama dengan bintang Bollywood, Shah Rukh Khan antara 248 pelajar di Negeri Sembilan yang menerima bantuan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Projek Iqra 2014 peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson, lapor portal MyMetro.






ANTARA penerima sumbangan yang hadir menerima bantuan zakat menerusi Projek Iqra 2014 peringkat Negeri Sembilan.

Bantuan zakat pendidikan RM500 berupa kelengkapan sekolah dan wang tunai membabitkan jumlah keseluruhan RM124,000 itu disampaikan Pengurus Besar (Khidmat Pelanggan) TH, Mohammad Saimi Mat Som.

Shah Rukh Khan Mohamad, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abd Samad di sini, berkata, bantuan diterima sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ibu bapanya.

“Ibu saya bekerja sebagai pembantu restoran di pekan Port Dickson manakala ayah tidak dapat bekerja akibat menderita penyakit saraf. Saya bersyukur dipilih menerima bantuan zakat untuk membeli keperluan sekolah tahun depan,” katanya yang juga anak kesembilan daripada 10 beradik.

Ketika ditanya mengenai keunikan namanya itu, Shah Rukh Khan berkata, nama itu dipilih ibunya, Alona Pelawis, 46, yang sangat meminati filem Hindi dan gaya lakonan bintang Bollywood, iaitu Shah Rukh Khan.